Tuesday, November 16, 2010

Perutusan Hari Raya Aidiladha Dato' Sri Najib Razak

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdullilah kita dapat sekali lagi menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban dalam keadaan negara aman damai dan ekonomi yang terus berkembang sihat. Kejayaan ini dicapai walaupun berlatarbelakangkan keadaan global yang tidak menentu. Sesungguhnya ia dimungkinkan kerana umat Islam Malaysia sentiasa berpegang kepada pendekatan Wasatiyyah atau pertengahan yang progresif sifatnya.

Sesungguhnya umat Islam Malaysia perlu banyak bersyukur kerana menjadi warga sebuah negara yang dirahmati dengan pelbagai nikmat. Ingatlah Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ibrahim Ayat 7 yang mafhumnya:

“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Kesyukuran menuntut kita umat Islam Malaysia untuk memanfaatkan sebaik-baiknya apa yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t bagi mencari kejayaan di dunia dan di akhirat. Janganlah sekali-kali kita bersifat kufur nikmat atau mengambil mudah tanggungjawab kita selaku hamba dan Khalifah-Nya di muka bumi. Umat Islam perlu memelihara diri mereka dari melakukan kerosakan yang boleh membawa kepada kelemahan, kehinaan dan akhirnya kemusnahan umat secara keseluruhan.

Hasil dari memanfaatkan segala potensi yang ada Malaysia telah mencapai kejayaan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Mengikut laporan Human Development Report 2010 terbitan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia merupakan antara negara yang memiliki Indeks Pembangunan Manusia Tinggi dengan menduduki tangga 57 dari 169 negara yang tersenarai.

Malaysia kini berada di ambang baru lonjakan pembangunan negara, sepanjang hampir dua tahun yang lalu kerajaan telah meletakkan asas-asas konkrit di dalam bentuk dasar, inisiatif dan program baru bagi memulakan pusingan terakhir ke arah tercapainya wawasan nasional untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Kini sudah tiba masanya untuk melaksanakan segala dasar, inisiatif dan program yang telah dirancang. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan segala apa yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi untuk kesejahteraan rakyat. Untuk itu iltizam, kerjasama dan pengorbanan semua pihak di pelbagai peringkat adalah amat penting.

Marilah kita, sempena hari yang baik ini berusaha meringankan penderitaan saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik dengan bukan sahaja mengagihkan daging korban tetapi juga bersedekah mengikut kemampuan kita.

Sempena sambutan hari yang penuh berkat dan bermakna ini juga, marilah kita mengambil iktibar dari contoh keimanan dan pengorbanan yang telah dipamerkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s di dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t.

Jika manifestasi keimanan dan kesanggupan berkorban tersebut berjaya diteladani umat Islam hari ini, maka kita akan berada pada landasan yang betul untuk muncul sebagai umat yang mulia dan dihormati sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai umat contoh.

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Aidiladha, selamat mengerjakan ibadat korban dan bagi yang sedang mengerjakan ibadat haji semoga selamat menyempurnakan segala tuntutan dan pulang ke tanah air dengan Haji Mabrur.

Dato’ Sri Mohd Najib

Thursday, November 4, 2010

Amanat Deepavali 2010 - Perdana Menteri Malaysia



Sempena sambutan hari Deepavali oleh masyarakat Hindu tahun ini, kita berpeluang lagi untuk mempertimbangkan makna sebenar perayaan Deepavali, iaitu kejayaan cahaya mengatasi kegelapan, dalam konteks hari ini.
Sepertimana yang diketahui rakyat Malaysia, Negara kita telah muncul dengan prospek pembangunan yang baik daripada kemerosotan ekonomi dunia hasil kerja dan inisiatif kita semua. Kita tidak berfikir secara berpanjangan tentang kegelapan prospek ekonomi kerana kita tahu bahawa ia adalah dalam kuasa kita sendiri untuk menggubal kejayaan yang ketara, atau pun dalam erti kata yang lain, untuk membuat cahaya sendiri.
Pendekatan tersebut membawa makna yang sama untuk individu dan keluarga yang bertungkus -lumus untuk mengecap kejayaan dan berdepan dengan pelbagai rintangan dalam usaha mereka mencapai cita-cita. Dalam menghayati makna perayaan Deepavali, kita tidak harus risau atas kegelapan kerana kita semua berupaya untuk menjanakan cahaya tersendiri dan mencapai kejayaan yang diingini. Saya juga ingin menggalakkan masyarakat Hindu untuk mengakui semula kejayaan individu dari komuniti anda dan jadikan kejayaan tersebut, yang berunsurkan usaha bersungguh-sungguh serta ketabahan, sebagai inspirasi.
Kerajaan akan tetap berada di sisi anda ketika anda berusaha demi mencapai cita-cita masing-masing. Kami akan menyambut perayaan dengan anda dan kami juga akan tetap bersama anda apabila pertolongan diperlukan. Kerajaan sedang bekerjasama dengan pelbagai kumpulan kaum India untuk menyalurkan perkhidmatan serta kemudahan-kemudahan kepada komuniti-komuniti tempatan. Saya yakin bahawa kita boleh mencapai penyelesaian kepada isu-isu dan masalah-masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi jika kita tabah dan saling bertolak-ansur.
Demi pendekatan 1Malaysia, saya pasti bahawa masyarakat Hindu bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain akan bekerjasama untuk mencapai pembangunan yang berterusan dan kejayaan untuk Negara kita semua. Semangat kerjasama dan kekitaan yang dimaksudkan adalah juga jelas di lihat ketika rakyat Malaysia membuka pintu dan menyambut satu sama lain ke dalam rumah mereka untuk menyambut hari keutamaan, termasuk hari Deepavali.
Dengan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada keseluruhan masyarakat Hindu. Saya harap anda akan dapat menyambut musim perayaan ini dengan ahli keluarga serta dengan sahabat-sahabat daripada semua kaum. Diwaktu kita menyambut perayaan Deepavali, kita tidak harus lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik – khususnya warga Malaysia yang baru-baru ini, dilanda banjir dan mengalami kehilangan harta dan pelbagai kesusahan yang lain. Marilah kita sekarang sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Selamat Hari Deepavali

KEPUTUSAN RASMI PRK N.45 DUN GALAS dan PRK P.185 PARLIMEN BATU SAPI







KEPUTUSAN RASMI

PRK N.45 DUN GALAS
PEMENANG : Abdul Aziz Yusof (BN) - 5,324
Dr Zulkefli (PAS) - 4,134
Majoriti - 1,190

PRK P.185 PARLIMEN BATU SAPI
PEMENANG : Linda Tsen (BN-PBS) -9,773
Yong Teck Lee (SAPP) - 2,031
Ansari Abdullah (PKR) - 3,414
Majoriti - 6,359